KOTA BHARU: Penduduk di pesisir pantai Kelantan mendakwa diugut dengan senjata api oleh individu dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia bagi menghalang mereka mendedahkan kegiatan haram itu.

Dakwaan berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat apabila pendatang tanpa dokumen perjalanan yang sah dikatakan dibawa naik ke darat hampir setiap malam melalui sungai, jeti dan kawasan pantai terpencil.

Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Hamidi, 42, berkata kegiatan itu kerap berlaku, dengan individu yang disyaki terbabit dalam penyeludupan serta mereka yang dipercayai bertindak sebagai pemerhati atau 'tonto' didakwa beroperasi di kawasan berkenaan.