KANGAR – Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan seorang anggotanya meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera dalam satu insiden ketika melaksanakan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang, dekat Kuala Perlis awal pagi tadi.
APMM Kedah Perlis dalam kenyataan memaklumkan keempat-empat mangsa merupakan anggota daripada Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis.
“Insiden berkenaan mengakibatkan seorang anggota meninggal dunia manakala tiga lagi mengalami kecederaan. APMM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar tiga anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera,” katanya.









