PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang memantau rapat insiden perlanggaran membabitkan dua kereta api penumpang berkelajuan tinggi berhampiran Urda, Toledo, Sepanyol, hari ini yang mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Menurut KLN dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia di Madrid masih belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden berkenaan setakat ini.

“Pada peringkat awal ini, kedutaan masih belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden tersebut.

“Kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali perkhidmatan kereta api yang berkaitan bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang terlibat serta menyelaras bantuan konsular sekiranya diperlukan,” katanya malam ini.