KUALA LUMPUR - Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti terlibat atau dipanggil untuk membantu siasatan jenayah korporat menerusi Op Viking setakat ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).Kementerian itu memaklumkan perkara berkenaan berdasarkan latar belakang dan identiti saksi yang telah dipanggil untuk dirakam percakapan."Setakat 25 September lepas, 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat."Tindakan pembekuan dan penyitaan ini melibatkan lapan bidang hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta," menurut KDN dalam jawapan bertulis di portal Parlimen.Kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai skop dan status siasatan PDRM terhadap dakwaan 'mafia korporat', termasuk pembabitan pegawai SPRM atau agensi penguatkuasaan lain serta dakwaan penyalahgunaan kuasa.KDN memaklumkan siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan dan memberi jaminan bahawa PDRM komited melaksanakan siasatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa."Melalui Op Viking, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), PDRM telah membuka satu kertas siasatan pada 14 Oktober 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613)," menurut kementerian itu. - Bernama