KUALA PILAH: Tukang cat berdepan tujuh pertuduhan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, termasuk memandu di bawah pengaruh dadah hingga terbabit kemalangan menyebabkan kecederaan kepada empat mangsa, minggu lalu.
Lelaki berkenaan, Yap Kian Wai, 39, yang sebelum ini tular memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan lima kenderaan mengaku bersalah bagi semua pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Marlissa Mohd Fahmy.
Bagi empat pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu kereta Honda City didapati memandu di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine dan menyebabkan kecederaan kepada empat individu.
Kejadian kira-kira jam 7.40 pagi di Jalan Seremban-Kuala Pilah (selepas simpang Kedai Ain), di sini, 22 Oktober lalu dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.








