KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih di peringkat untuk dimuktamadkan.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, ia ambil maklum serta menghargai pandangan yang disuarakan oleh masyarakat berhubung perkara berkenaan.

"KDN akan memastikan urusan tersebut dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa," kata KDN.

Berhubung peranan AKPS yang baharu memasuki tahun kedua penubuhannya, KDN menyifatkan agensi berkenaan sebagai entiti kritikal dalam memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara.