SHAH ALAM: Bekas eksekutif kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan wang pendahuluan dan tuntutan daripada sebuah organisasi penyelidikan industri dan teknologi antara 2022 dan 2023.
Mohd Nizam Ibrahim, 50, didakwa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat organisasi penyelidikan industri dan teknologi berkenaan antara 22 April 2022 hingga 2 November 2023.
Mohd Nizam didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen dengan memberikan kepada organisasi berkenaan, iaitu dokumen sebut harga, dokumen tunai dan resit bayaran tunai sebuah syarikat bagi mendapatkan wang pendahuluan diri serta tuntutan berjumlah keseluruhan RM15,088.









