KLANG: Kemasukan babi hidup ke negeri ini melalui Pelabuhan Klang didakwa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk penghantaran terus haiwan itu ke pusat penyembelihan.

Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, tidak timbul isu ketidakpatuhan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda sebelum ini menegaskan berkenaan larangan menternak haiwan berkenaan di negeri ini.

“Yang penting, sebarang keputusan mesti mematuhi peraturan, dari awal pun masa kebenaran (diberi) untuk mereka bawa masuk. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan pematuhan terhadap semua syarat ketat.

“Maksudnya, babi sampai terus tak boleh singgah di mana-mana, terus bawa ke pusat penyembelihan,” katanya pada pemberita ketika ditemui semasa tinjauan projek tebatan banjir sekitar daerah ini, di sini, hari ini.