PUTRAJAYA: Sindiket pemindahan wang secara tidak sah menggunakan sistem ‘Hundi’ dikesan menyamar sebagai premis perniagaan runcit dan borong di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, dengan transaksi melalui akaun e-dompet (eWallet) melebihi RM180,000 bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Kegiatan itu terbongkar menerusi Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga lokasi sekitar Chow Kit pada 27 Oktober lalu yang membawa kepada penahanan lapan lelaki warga Bangladesh berusia antara 24 hingga 42 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).