NEW YORK: Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) yang menyertai IS sebelum ditangkap pasukan penentang di Syria, didapati bersalah oleh mahkamah semalam atas tuduhan mengikuti latihan ketenteraan daripada kumpulan militan berkenaan.

Halima Salman, 27, antara ratusan wanita warga asing yang pergi atau dibawa ke wilayah yang dikuasai kumpulan pengganas IS.

Mereka kemudian berkahwin dengan pejuang militan berkenaan dan seterusnya ditangkap serta ditahan sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.

Nasib yang menimpa kumpulan wanita berkenaan bersama anak-anak mereka kini menjadi isu rumit bagi negara Barat yang juga tempat kelahiran mereka, dengan ramai antaranya terperangkap atau dilucutkan kewarganegaraan oleh kerajaan negara masing-masing.