Shah Alam: Impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda terpaksa ditangguhkan selepas disahkan menghidap kanser darah namun Mohammad Nurhafiy Mohamad Razali, 22, tidak pernah menganggap ujian itu sebagai noktah kepada cita-citanya.
Graduan Diploma Teknologi Binaan, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu berkata, beliau berharap dapat menyambung pengajian sebaik keadaan kesihatannya mengizinkan selepas menjalani rawatan dan rehabilitasi.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, kehidupannya berubah ketika berada di penghujung pengajian diploma apabila berat badannya menurun secara mendadak, selain muncul benjolan yang semakin membesar berhampiran bawah ketiak dan mengalami kesakitan pada tangan.









