KUALA LUMPUR: Maybank memperluas kemudahan pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan menerusi aplikasi MAE ke lima pasaran baharu termasuk China, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina dan Laos, susulan integrasi dengan Alipay+.

Ini membolehkan pelanggan menggunakan fungsi Scan & Pay menerusi aplikasi MAE untuk membuat pembayaran QR ketika berada di lima pasaran berkenaan tanpa perlu memuat turun aplikasi berasingan atau mendaftar akaun Alipay+.

Maybank dalam kenyataannya berkata, kemudahan itu turut tersedia di Singapura, Thailand dan Indonesia sekali gus memperluas pilihan pembayaran digital pelanggan ketika berada di luar negara.

Pelanggan juga boleh menyemak jumlah transaksi dalam mata wang tempatan dan ringgit sebelum mengesahkan pembayaran bagi memberikan ketelusan lebih tinggi ketika berbelanja di luar negara.