KUALA LUMPUR: Saham Maxis Bhd merosot pada dagangan lewat hari ini susulan laporan mengenai rancangan baharu untuk menggabungkan syarikat itu dengan U Mobile Sdn Bhd, yang berpotensi mewujudkan pengendali rangkaian tanpa wayar terbesar di negara ini.

Pada 4.30 petang, saham Maxis susut 16 sen atau 4.38 peratus kepada RM3.49, dengan sebanyak 3.98 juta saham diniagakan.

Menurut laporan, kedua-dua syarikat telekomunikasi itu sedang menghidupkan semula rancangan untuk menggabungkan operasi masing-masing menerusi urus niaga yang berpotensi mewujudkan pengendali rangkaian mudah alih terbesar di negara ini dari segi nilai pasaran, menurut individu yang mengetahui perkara itu.

Laporan itu menyatakan Maxis semakin hampir ke arah penggabungan dengan meminta sekumpulan bank dan firma guaman terpilih mengemukakan cadangan masing-masing.