MINNESOTA: Pakar angkasa lepas memaklumkan objek angkasa yang ditemukan di sebuah ladang jagung di kawasan luar bandar Minnesota awal bulan ini mungkin serpihan roket China yang dilancarkan pada September lalu.
Pejabat Syerif Daerah Stevens berkongsi gambar objek itu, yang ditemukan pada 14 Oktober lalu di sebuah ladang jagung di Scott Township.
“Ketika tiba di lokasi, anggota polis mengesahkan terdapat objek logam besar berdiameter kira-kira 3.35 meter yang dipercayai objek angkasa di ladang jagung berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Portal berita sains dalam talian, Ars Technica mendapati objek itu berkemungkinan serpihan roket Zhuque-2E milik LandSpace yang dilancarkan dari China pada 14 September lalu sebelum kembali memasuki atmosfera bumi tanpa melengkapkan satu pusingan mengelilingi planet itu.








