JERANTUT: Titian Kanopi Seberang Ara yang terletak dalam Taman Negara Pahang (TNP) dekat Kuala Tahan di sini, ditutup sementara mulai esok bagi membolehkan pembaikan dibuat selepas strukturnya rosak dihempap pokok tumbang.
Penguasa Taman Negara Pahang, Mohd Hafid Rohani, berkata penutupan itu berkuat kuasa esok sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Beliau berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin sepanjang tempoh kerja pembaikan dijalankan.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkaitan mengambil maklum mengenai penutupan berkenaan dan menyampaikan pemakluman itu kepada ahli persatuan masing-masing.










