KUALA LUMPUR: Ringgit kembali ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia susulan sentimen positif terhadap pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta jangkaan pertumbuhan domestik yang berterusan, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0745/0790 berbanding dolar AS daripada paras 4.0865/0900 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata walaupun dolar AS kekal kukuh menjelang keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS, daya tahan ringgit menunjukkan bahawa asas ekonomi domestik berkemungkinan menjadi penampan penting dalam mendepani ketidakpastian luaran.