KUALA LUMPUR: Lapan lelaki warga Bangladesh ditahan dalam operasi membanteras sindiket pemindahan wang haram yang berselindung di sebalik perniagaan runcit dan borong di Chow Kit, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata sindiket itu dipercayai menggunakan sistem pemindahan wang tidak rasmi dikenali sebagai 'Hundi' bagi memindahkan wang, terutama untuk warga Bangladesh yang tinggal dan bekerja di Lembah Klang.

Tangkapan dilakukan dalam operasi khas di tiga lokasi di Chow Kit pada 27 Oktober, selepas risikan selama sebulan.

Operasi bermula jam 2.37 petang itu membabitkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen di Putrajaya dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).