KUALA LUMPUR – Seramai 72 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah, dengan rampasan keseluruhan kira-kira 1,704 kilogram dadah bernilai RM81.76 juta bagi tempoh Januari hingga 15 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sejumlah 48 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan, dengan tangkapan melibatkan 57 lelaki dan 15 wanita.
Beliau berkata, Thailand mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, iaitu 19 orang diikuti Indonesia (16), Taiwan dan Singapura masing-masing lapan orang, Jepun (lima), Filipina (empat), India dan Hong Kong masing-masing tiga, Macau (dua) manakala Korea Selatan, Nigeria, Maldives dan Sri Lanka masing-masing seorang.








