KUALA LUMPUR – Seramai 72 rakyat Malaysia ditahan di luar negara dengan nilai rampasan dadah dianggarkan RM81.76 juta sejak Januari hingga 15 Oktober tahun ini kerana disyaki terlibat sebagai keldai dadah.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, 57 lelaki dan 15 wanita ditahan dalam pelbagai operasi membanteras penyeludupan dadah di beberapa negara."Golongan berusia antara 18 hingga 30 tahun merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 36 orang, bersamaan 50 peratus daripada keseluruhan tangkapan."Ia diikuti kumpulan berusia 31 hingga 40 tahun seramai 21 orang, manakala masing-masing enam individu berusia antara 41 hingga 50 tahun dan 51 hingga 60 tahun. Tiga lagi yang ditahan berusia antara 61 hingga 70 tahun," katanya ketika dihubungi pada Selasa.Menurut beliau, Thailand mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi melibatkan rakyat Malaysia iaitu seramai 19 orang, diikuti Indonesia dengan 16 tangkapan."Taiwan dan Singapura masing-masing merekodkan lapan tangkapan, manakala Jepun lima tangkapan."Filipina merekodkan empat tangkapan, diikuti India dan Hong Kong masing-masing tiga orang. Macau pula mencatatkan dua tangkapan, manakala Korea Selatan, Nigeria, Maldives dan Sri Lanka masing-masing merekodkan seorang tangkapan," katanya.Hussein berkata, sebanyak 1,704 kilogram pelbagai jenis dadah dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM81.76 juta.Menurutnya, methamphetamine merekodkan jumlah rampasan tertinggi iaitu 1,445.162 kilogram atau 84.8 peratus daripada keseluruhan dadah yang dirampas."Ia diikuti ganja sebanyak 176 kilogram, heroin (48.19 kilogram), MDMA (23.348 kilogram) dan kokain (5.0042 kilogram)," katanya.Beliau berkata, pertukaran maklumat risikan dengan agensi penguat kuasa luar negara membantu pihak berkuasa mengenal pasti serta melumpuhkan beberapa rangkaian sindiket termasuk kegiatan merekrut keldai dadah di peringkat antarabangsa."Kerjasama antarabangsa memainkan peranan penting dalam usaha membanteras sindiket dadah rentas sempadan."JSJN bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa luar negara melalui perkongsian risikan, operasi bersama dan pertukaran maklumat," katanya.