KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan campur tangan dalam siasatan isu Zetrix AI Bhd dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sebaliknya menyerahkan proses berkenaan kepada badan penguat kuasa untuk diselesaikan secara telus.

Perdana Menteri mengakui siasatan bagi sesetengah kes mengambil masa yang panjang, namun menegaskan kelewatan itu tidak bermakna kerajaan cuba melindungi mana-mana pihak daripada tindakan undang-undang.

"Bagi isu Zetrix AI Bhd, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah membuat laporan polis dan berkaitan pengubahan wang haram (AMLA) pula Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sudah membuka fail serta jalankan siasatan.

"Apakah ada arahan supaya siasatan diteruskan? Ada. Apakah ada arahan menutup? Tidak ada," katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.