KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) sedang merangka pindaan undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya mahu menangani kegiatan jenayah terbabit dengan meningkatkan hukuman.

"Kita perlu muktamadkan terlebih dulu (pindaan), jadi tidak sesuai untuk saya umumkan sebarang butiran pada masa ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Transport Expo Asia (TXA), di sini hari ini.

Kegiatan mencuri kabel dilihat semakin berleluasa, terbaharu polis berjaya menumpaskan empat kumpulan disyaki terbabit jenayah samun dan curi kabel milik Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Telekom Malaysia (TM) menerusi beberapa operasi dijalankan dari 12 Oktober hingga semalam di sekitar Temerloh dan Mentakab.