Kuala Lumpur: Pengesanan akaun keldai oleh institusi kewangan meningkat sebanyak 149 peratus sejak Portal Fraud Kebangsaan (NFP) diperkenalkan pada April 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan sudah diambil terhadap lebih 9,600 akaun keldai setakat Disember tahun lalu.
Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memperkukuh kerjasama dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi NFP bagi mempercepatkan proses pengesanan dana yang dicuri, akaun keldai, serta perkongsian maklumat bersama agensi penguatkuasaan.
"Penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memperkasakan keupayaan pengesanan dan pencegahan penipuan, selari dengan taktik sindiket jenayah kewangan yang sentiasa berubah," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.








