KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dianggarkan perlu mengeluarkan perbelanjaan sehingga AS$60,000 (RM244,900) sebulan sekiranya berhasrat membawa masuk jurulatih gred tertinggi dari Jepun untuk mengemudi skuad Harimau Malaya.

Ejen bertauliah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Effendi Jagan Abdullah menjelaskan bahawa pakej pelaburan bagi pengendali dari negara Matahari Terbit itu bergantung sepenuhnya kepada profil, pengalaman antarabangsa serta kualiti yang ditawarkan.

Effendi yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd turut menyatakan, pakej minimum untuk jurulatih dari Jepun yang mempunyai reputasi kukuh serta rekod pencapaian terbukti di peringkat Asia dianggarkan bermula dengan AS$30,000 (RM122,440) sebulan.