Kuala Lumpur: Dipujuk dengan tawaran kerja khidmat pelanggan bergaji lumayan, seorang lelaki dipercayai menjadi mangsa penipuan pekerjaan apabila dikatakan dikurung dan dipukul, selain keluarganya diminta membayar USD40,000 (RM163,400) untuk membebaskannya.

Nasib lelaki berusia 25 tahun itu menimbulkan kebimbangan keluarganya selepas dia dipercayai terperangkap dalam sindiket penipuan pekerjaan di luar negara, selain keberadaannya masih tidak diketahui sehingga kini.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo, berkata berdasarkan maklumat daripada keluarga, lelaki itu pernah bekerja di Singapura sebelum kembali ke Malaysia untuk mencari peluang pekerjaan lain.