ISTANBUL: Polis Paris mengumumkan perintah berkurung di beberapa kawasan di ibu negara Perancis itu untuk malam ketiga berturut-turut hari ini susulan keganasan dan penjarahan semasa perhimpunan di seluruh negara, lapor Anadolu Ajansi.

Sekatan berkenaan melarang orang dewasa dan kanak-kanak daripada memasuki kawasan yang ditetapkan di sekitar Place de la Republique dan Les Halles bermula 11 malam Rabu hingga 6 pagi Khamis, kata Polis Wilayah Paris di platform media sosial X.

Dalam pengumuman berasingan, pihak berkuasa berkenaan memaklumkan perhimpunan dan demonstrasi akan dilarang di kawasan tertentu di Paris bermula 8 malam Rabu hingga 6 pagi Khamis.

Langkah-langkah itu diambil susulan arahan daripada Perdana Menteri, Sebastien Lecornu dan Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez untuk melindungi orang ramai dan harta benda daripada keganasan dan penjarahan berterusan, menurut pihak polis.