Paris: Polis Paris pada Isnin mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam di dua kawasan di ibu negara Perancis susulan rusuhan terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Rusuhan terbabit menyasarkan bangunan dewan perbandaran, kemudahan awam lain serta ribuan premis perniagaan di seluruh negara, lapor Associated Press (AP).

Menurut kenyataan polis Paris, arahan itu bertujuan melindungi orang awam dan harta benda daripada keganasan serta kegiatan rompakan.

Perintah berkurung itu melarang orang ramai memasuki atau berada di Place de la République, lokasi berlakunya rusuhan pada Sabtu, serta kawasan beli-belah Les Halles yang menjadi sasaran kegiatan rompakan.