Pekan: Polis menahan empat lelaki dipercayai menyebabkan kebakaran berskala besar Hutan Simpan Pekan, dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mereka yang ditahan berusia antara 27 hingga 60 tahun itu adalah pekebun nanas di sini.

Katanya, mereka ditahan bagi mendapat keterangan berhubung kebakaran hutan paya gambut bersebelahan kawasan penempatan mereka. Namun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecuaian dengan api atau bahan mudah terbakar.