KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan dijangka memberi kesan minimum kepada kontraktor pembinaan domestik memandangkan kadar upah semasa pekerja am dalam sektor itu sudahpun melebihi paras berkenaan, demikian menurut CIMB Securities.

Firma pembrokeran pasaran itu berkata, walaupun sektor pembinaan bersifat intensif buruh, kadar upah harian pekerja pembinaan am ketika ini dianggarkan antara RM80 hingga RM100, tidak termasuk kerja lebih masa dan kos berkaitan tenaga kerja lain.

"Berdasarkan andaian 26 hari bekerja sebulan, kadar itu bersamaan gaji bulanan antara RM2,080 hingga RM2,600, sekali gus melebihi kadar gaji minimum baharu RM2,000 sebulan yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu," katanya dalam satu nota penyelidikan.