Kuala Lumpur: Sektor pembinaan berdepan risiko peningkatan kos buruh asing jika kerajaan menyemak kadar gaji minimum dalam Belanjawan 2027, dengan kontraktor yang bergantung tinggi kepada pekerja asing akan paling terdedah kepada tekanan margin, menurut Apex Securities.
Firma penyelidikan berkata, kerajaan berpotensi mengumumkan semakan semula upah minimum bulanan baharu kepada sekitar RM2,000, berbanding kadar semasa hanya RM1,700, sebagai sebahagian usaha mengecilkan jurang gaji struktur dalam ekonomi semasa.
Bagaimanapun, katanya, sebarang kenaikan kadar gaji akan meningkatkan kos tenaga kerja sektor pembinaan yang sememangnya sangat bergantung kepada ramai pekerja asing, selain kesan daripada peningkatan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi buruh luar.








