PUTRAJAYA: Kenaikan gaji minimum tanpa peningkatan seiring gaji pekerjaan berkemahiran berisiko melebarkan isu pemampatan gaji, apabila jurang pendapatan antara graduan diploma dan ijazah dengan pekerja bergaji minimum semakin mengecil.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata gaji minimum kekal penting sebagai perlindungan kepada pekerja berpendapatan rendah, namun kadarnya perlu dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi dan pasaran buruh.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan lantai gaji perlu disertai pergerakan gaji bagi pekerja berkemahiran, berkelayakan dan memikul tanggungjawab lebih tinggi supaya struktur upah kekal mencerminkan nilai kemahiran serta produktiviti pekerja.






