KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Badrul Hisham, 48, atau dikenali sebagai Chegubard selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan Badrul Hisham untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jaminan sebanyak RM5,000, menjadikan jumlah jaminan RM15,000.








