Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian untuk membatalkan saman PKR yang menuntut ganti rugi RM10 juta kerana keluar parti selepas memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Baru sebelum ini mendakwa Mahkamah Tinggi Malaya di Semenanjung Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa terhadap dirinya dan sekiranya ada, kausa tindakan itu adalah dari Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Ahli politik itu mendakwa, beliau menandatangani dan melaksanakan bon ketika berada di Sarawak dan turut berada di negeri itu pada hari penamaan calon dan ketika didakwa keluar daripada parti berkenaan.

Katanya, ketika Langkah Sheraton berlaku pada 23 Februari 2020, beliau sedang berada di Kuching, Sarawak dan tidak berada di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya.