KLANG: Kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan 255 projek tebatan banjir kadar segera bernilai RM70 juta di seluruh negeri ini sudah disiapkan dan baki dijangka selesai pada akhir tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, projek tersebut melibatkan penyelesaian isu banjir kilat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan yang kerap berlaku sebelum ini.

Katanya, terdapat projek tambahan yang akan dimaklumkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan Taman Rashna, i-City, Seksyen 7 dan Bandar Bukit Raja.

“Isu kekerapan banjir di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada ketiadaan pintu air ke Sungai Rasah lalu menyebabkan berlaku limpahan walaupun hujan lebat dalam tempoh setengah jam.