KUALA LUMPUR: Kemudahan Visa Kemasukan Berulang (MEV) bagi tujuan lawatan sosial jangka pendek kepada semua warganegara yang memerlukan visa ke Malaysia ditamatkan berkuat kuasa 1 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bertujuan menutup ruang dan jalan bagi warga asing menyalahgunakan kemudahan kemasukan berulang kali untuk bekerja, menjalankan perniagaan haram, atau tinggal melebihi tempoh.
"Langkah ini secara langsung mengurangkan lambakan pekerja asing tidak sah dan memelihara peluang pekerjaan serta perniagaan tempatan," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen, hari ini.
Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kemasukan dan keberadaan warga asing tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.








