APABILA berlaku masalah pada salur darah otak, perkara paling penting bukan sekadar mengenal pasti penyakit, tetapi mendapatkan rawatan secepat mungkin.
Kemajuan radiologi intervensi dan teknologi perubatan kini membolehkan sesetengah keadaan neurologi dirawat menerusi kaedah minimum invasif, tanpa memerlukan pembedahan terbuka.
Pakar Radiologi Intervensi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Arvin Rajadurai, berkata antara rawatan yang semakin berkembang ialah prosedur untuk membuka salur darah otak yang tersumbat akibat darah beku.
"Konsepnya sama seperti prosedur jantung apabila doktor memasukkan tiub kecil untuk merawat salur darah. Cuma kami melakukannya untuk bahagian otak," katanya pada Neuroscience Excellence Showcase: Can Surgery Sometimes Be Avoided di Hospital Pantai Kuala Lumpur, baru-baru ini.






