KUALA LUMPUR – Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti terlibat atau dipanggil untuk membantu siasatan jenayah korporat menerusi Op Viking setakat ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian itu memaklumkan perkara berkenaan berdasarkan latar belakang dan identiti saksi yang telah dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Setakat 25 Sept lepas, 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat.

“Tindakan pembekuan dan penyitaan ini melibatkan lapan bidang hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta,” menurut KDN dalam jawapan bertulis di portal Parlimen.