KUALA PILAH - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tujuh pertuduhan narkotik termasuk memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan empat individu mengalami kecederaan.Tertuduh, Yap Kian Wai, 39 yang datang ke mahkamah dengan sebelah tangan berbalut membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Marlissa Mohd Fahmy selepas kertas pertuduhan dibacakan.Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh yang memandu kenderaan jenis Honda City telah memandu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan menyebabkan kecederaan kepada dua lelaki dan dua wanita.Perbuatan itu dilakukan pada 22 Oktober 2026 kira-kira jam 7.40 pagi, di Jalan Seremban – Kuala Pilah.Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.Mengikut Subseksyen 44(3A) Akta 333, tertuduh boleh hilang kelayakan daripada memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun dari tarikh sabitan.Selain itu, tertuduh turut mengaku mengambil dadah jenis methamphetamine pada tarikh sama di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah.Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B akta sama.Tertuduh juga mengaku telah ada dalam milikannya dadah jenis nimetazepam seberat 1.22gram dan ketamin seberat 0.35gram.Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama.Timbalan Pendakwa Raya, J G Vesvanathan tidak menawarkan jaminan bagi empat pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah, namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah manakala bagi tiga lagi pertuduhan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM13,000.Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, C P Hemananthini memohon tertuduh diberi jaminan yang rendah kerana hanya bekerja sebagai tukang cat dengan pendapatan tidak menentu selain perlu menanggung isteri serta seorang anak yang masih bersekolah.Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM25,000 dan lesen tertuduh digantung sehingga kes selesai.Sebutan semula semua kes untuk laporan patalogi dan kimia pada 10 Disember depan.