CEBU – Malaysia berpendirian pertikaian di Laut China Selatan tidak seharusnya dibiarkan sehingga menjejaskan keamanan yang dibina ASEAN selama berdekad-dekad.Dalam ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-20 di Cebu, Filipina, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan isu berkenaan merupakan antara ujian paling penting terhadap perpaduan, kredibiliti dan komitmen ASEAN dalam mempertahankan prinsip penubuhannya."Tiada pertikaian, sedalam mana sekalipun akar umbinya, boleh dibiarkan memecahbelahkan ASEAN atau menjejaskan keamanan yang telah kita bina selama berdekad-dekad," katanya pad Rabu.Ujar Mohamed Khaled, beberapa negara anggota ASEAN mempunyai tuntutan maritim yang bertindih dan masing-masing mempunyai kepentingan yang sah dalam melindungi kedaulatan serta hak wilayah mereka.Bagaimanapun, perbezaan kepentingan itu perlu diurus dengan mengambil kira kepentingan lebih luas rantau ini, selain mengekalkan kepercayaan dan kesediaan negara anggota untuk menangani perbezaan secara konstruktif.Beliau berkata, masa depan ASEAN tidak dapat dijamin oleh mana-mana negara anggota yang bertindak secara bersendirian, sebaliknya bergantung pada kekuatan hubungan dan kerjasama antara negara dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau."Kekuatan kita terletak pada kepercayaan yang dibina sesama sendiri, kesediaan untuk mengurus perbezaan secara konstruktif serta tekad untuk mempertahankan kepentingan lebih luas rantau ini," jelasnya.Mohamed Khaled turut mengingatkan bahawa keamanan dan kestabilan ASEAN tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin, sebaliknya perlu dipelihara menerusi dialog berterusan dan kemahuan politik untuk bekerjasama meskipun berdepan perbezaan.Beliau berkata, pencapaian ASEAN sepanjang hampir enam dekad merupakan hasil usaha berterusan negara anggota dalam mengekalkan dialog dan membina persefahaman.Ketika ASEAN menghampiri ulang tahun ke-60 pada tahun depan, beliau turut menekankan, keupayaan mengekalkan dialog ketika berdepan perselisihan sukar merupakan antara pencapaian terbesar pertubuhan serantau itu.Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa ASEAN perlu memperkukuh kerjasama pertahanan bagi memastikan rantau ini lebih bersedia menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks, saling berkait dan berpotensi membawa kemusnahan besar.Beliau berkata, tiada negara anggota, tanpa mengira sumber yang dimiliki, mampu menangani cabaran sedemikian sepenuhnya secara bersendirian.Sehubungan itu, Malaysia berpandangan ASEAN perlu membangunkan keupayaan tindak balas bencana serantau yang lebih kukuh, terselaras dan berkesan.Jelasnya, mekanisme sedia ada seperti Kumpulan Siap Siaga Tentera ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (AMRG on HADR) perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta memastikan angkatan tentera dapat bertindak pantas apabila bencana melanda."Kini, kita perlu membina berasaskan asas yang telah diwujudkan ini