KUALA LUMPUR: Kesemua 21 calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melafazkan baiah kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang tadi.
Ikrar janji taat setia itu dilakukan selepas majlis penyerahan watikah kepada calon BN bagi PRN Melaka yang diadakan di Menara Dato Onn, di ibu negara.
Berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Facebook, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kesemua 21 calon berkenaan turut menandatangani empat dokumen akujanji bersumpah dan perjanjian dengan parti.
Selain Ahmad Zahid dan Asyraf Wajdi, acara lafaz baiah itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.








