Putrajaya: Seorang guru besar dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 11 sebatan oleh Mahkamah Rayuan, hari ini selepas didapati bersalah menghasilkan bahan pornografi dan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia 12 tahun, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin yang bersidang bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menolak rayuan akhir tertuduh, Anuar Kintan, 59, terhadap sabitan menghasilkan pornografi kanak-kanak.
Mahkamah turut membenarkan rayuan pendakwaan bagi pertuduhan amang seksual fizikal, sekali gus mengetepikan keputusan lepas dan bebas yang diberikan mahkamah terdahulu.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan lapan sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap Anuar.










