Putrajaya: Malaysia memilih pendekatan diplomasi dengan Myanmar bagi menangani isu pelarian dari negara itu yang berada di Malaysia, biarpun berdepan kecaman dan kritikan antarabangsa terhadap pendirian kerajaan dalam menangani krisis berkenaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pendekatan itu diambil bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan selepas pelbagai teguran dan kecaman terhadap Myanmar sejak 20 hingga 30 tahun lalu tidak membawa perubahan ketara terhadap dasar negara itu.
Katanya, usaha menjalin hubungan diplomatik dengan Myanmar bukan bermakna Malaysia bersetuju atau merestui tindakan negara itu terhadap etnik Rohingya, sebaliknya menjadi saluran untuk mendapatkan kerjasama bagi menangani isu pelarian.








