Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memberikan pandangan sewajarnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil adalah teratur serta selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum berhubung dengan laporan polis yang dibuat terhadap Mohd Shuhaily, yang kini berada di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Laporan polis terbabit adalah tertakluk kepada siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia. Dalam hal ini, tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa akan diambil sekiranya kertas siasatan dikemukakan kepada jabatan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.










