KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) diminta memperhalusi perkara dibangkitkan Majlis Raja-Raja berhubung cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk dibentangkan semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPKP) dalam tempoh dua minggu bagi penelitian serta tindakan selanjutnya.

Menerusi kenyataan hari ini, JKPKP Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, memaklumkan perkara itu perlu diteliti sewajarnya dengan mengambil kira pandangan serta pertimbangan Majlis Raja-Raja selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa berkenaan dalam mesyuaratnya hari ini mengambil maklum perbincangan mengenai cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang disembah maklum ketika sesi pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 pada 13 Oktober lalu.