JITRA: Nenek berusia 74 tahun yang dilaporkan hilang di kebun getah berhampiran Taman Kodiang, di sini, sejak Ahad lalu, ditemukan selamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata Razaiyah Hassan ditemukan pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Ketika ditemukan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas anak lelakinya mendapati wanita itu tiada di rumahnya di Taman Kodiang, kira-kira 2.15 petang Ahad lalu dan laporan dibuat tengah hari Isnin lalu.