Kuala Lumpur: Skuad boling lelaki negara gagal mempertahankan gelaran pada Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Munich, Jerman, selepas tidak berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir, hari ini.

Kuartet negara yang terdiri daripada bekas juara dunia Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol tewas 2-3 kepada Australia pada aksi separuh akhir di Max Munich Bowling, Brunnthal, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Malaysia memulakan saingan dengan cemerlang apabila menang 224-192 dalam perlawanan pembukaan, namun kalah 175-206 pada saingan kedua.

Mereka kemudian mendahului menerusi kemenangan 217-164 pada perlawanan ketiga sebelum Australia menyamakan kedudukan dengan memenangi aksi keempat 195-168.