KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang memperkukuh kompetensi guru Matematik menerusi latihan bersasar dan penyelarasan penempatan guru opsyen bagi meningkatkan penguasaan serta keupayaan murid mengaplikasikan subjek itu dalam kehidupan harian.

Timbalan Pengarah Sektor Sains dan Matematik, Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, Dr Aszunarni Ayob, berkata Standard Kompetensi Guru Matematik yang dirancang di bawah Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia (RTPMM) 2026-2035 akan membolehkan latihan dirangka berdasarkan keperluan serta tahap kompetensi setiap guru.

"Melalui piawaian ini, kita akan tahu keupayaan kompetensi guru-guru kita dan daripada situ, kita boleh buat latihan bersasar kepada mereka.