PUTRAJAYA: Kesemua 462 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Perancis dilaporkan selamat dan tiada seorang pun terbabit atau terjejas secara langsung akibat demonstrasi serta rusuhan di beberapa bandar utama negara itu termasuk Paris.
Kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan aktiviti pengajian pelajar Malaysia di negara berkenaan diteruskan seperti biasa manakala institusi pendidikan di kawasan terjejas melaksanakan pembelajaran secara dalam talian.
Menurut KPT, pihaknya melalui Pejabat Atase Pendidikan Paris dengan kerjasama Kementerian Luar, Kedutaan Besar Malaysia di Paris dan agensi penaja, sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar negara ini terpelihara.








