KUALA LUMPUR: ES Sunlogy Bhd memperoleh kelulusan pemegang saham bagi mandat transaksi berulang dengan pihak berkaitan, sekali gus memudahkan urusan perniagaan bersama pemegang saham strategiknya, Kerjaya Prospek Group Bhd.
ES Sunlogy dalam satu kenyataan berkata, mandat yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa itu membolehkan urusan perniagaan rutin dengan pihak berkaitan dikendalikan dengan lebih cekap berdasarkan terma komersial biasa.
Kerjaya Prospek muncul sebagai pemegang saham strategik ES Sunlogy dengan pegangan 31 peratus selepas melabur kira-kira RM64.31 juta untuk membina kepentingannya antara Julai hingga Ogos 2026.
Kedua-dua syarikat sudah bekerjasama sejak 2018, dengan ES Sunlogy melaksanakan kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) bagi projek Kerjaya Prospek. Kerjasama itu kini berpotensi diperluas kepada projek guna campur, perindustrian dan infrastruktur.









