PETALING JAYA: Tarif Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) sebanyak 44 hingga 46 sen setiap kilowatt-jam (kWj) kini menjadikan tenaga hijau enam hingga 10 peratus lebih murah berbanding tenaga konvensional, kata CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd.
Penganalisisnya, Dharmini Thuraisingam berkata, perkembangan itu dijangka membuka permintaan baharu sektor komersial dan perindustrian (C&I) berskala besar sebanyak tujuh hingga lapan gigawatt (GW), selain permintaan daripada pusat data (DC).
Katanya, ia berpotensi meluaskan pasaran CRESS yang sebelum ini banyak dipacu permintaan DC kepada syarikat multinasional (MNC) dan syarikat tersenarai yang mempunyai sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).






