PUTRAJAYA: Suasana di sekitar sekolah di Putrajaya lengang pagi ini susulan penutupan institusi pendidikan itu akibat keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara.

Tinjauan di beberapa sekolah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 14, Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 14, SMK Presint 16 dan SK Presint 16, mendapati notis bertulis 'Sekolah Ditutup' ditampal di pagar utama sekolah berkenaan bagi memaklumkan penutupan kepada orang ramai.

Keadaan itu menyebabkan suasana di sekitar sekolah berkenaan berbeza daripada kebiasaan pada hari persekolahan, ketika murid dan guru hadir untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Penutupan itu susulan keadaan jerebu yang memerlukan langkah berjaga-jaga bagi mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.